Remaja maut kereta dipandu ibu dirempuh lori


SEORANG
pelajar maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu ibunya terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah petang semalam.

Khairul Fahmi Mohd Sipullizan, 16, beralamat dari Kampung Banggol Pak Ibrahim, Kuala Terengganu tersepit dalam MPV jenis Nissan Grand Livina dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berlaku ketika lori jenis Hino dipandu Zuraidi Eriffin dalam perjalanan dari arah Segamat menghala ke Kuantan manakala MPV itu juga dari arah sama.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, MPV dipandu pensyarah wanita itu dipercayai berhenti untuk membelok masuk simpang di sebelah kanan.

“Lori yang datang dari arah belakang gagal mengelak ekoran jarak terlalu dekat, lalu terlanggar bahagian belakang kenderaan itu menyebabkan ia berpusing dan terbabas melanggar besi penghadang jalan di laluan bertentangan.

“Ekoran kejadian, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya menurut Sinar.

Bomba mengeluarkan mangsa
Ibu mangsa, Darmila Ali, 47, yang bertugas sebagai pensyarah di Politeknik Muadzam Shah mengalami cedera ringan manakala pemandu lori, Zuraidi Eriffin Norlizam, 27 dari Batu Anam, Johor tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3.12 petang sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah ke lokasi.

“Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan menyelamat.

"Mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya selepas disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a comment

0 Comments