Rempuh jejantas, pemandu dilapor ada 15 saman


PENGGUNA jalan raya di hadapan Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda dekat Georgetown semalam gempar apabila sebuah  sebuah treler yang membawa muatan jentera berat merempuh sebuah jejantas.

Kejadian jam 4.15 petang itu menyebabkan jejantas tersebut mengalami kerosakan teruk dan berlaku kesesakan trafik di kedua-dua hala laluan tersebut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santung  berkata, treler dari Tanjung Bungah yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur itu sebelumnya  melepasi tiga jejantas iaitu Jejantas Flat Tanjung Tokong, Jejantas Jalan Sultan Ahmad Shah dan Jejantas Lebuh Faquhar namun tersangkut di Jejantas Pengkalan Weld.

"Pemandu telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Timur Laut untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan, dia mempunyai 15 saman namun hanya dua belum dijelaskan. Saman melibatkan pandu laju dan halangan lalu lintas.

"Bagaimanapun, pemandu tersebut tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian saringan air kencingnya negatif," katanya.

Sehingga petang semalam, traler tersebut difahamkan tidak dialihkan, Soffian menjelaskan, pemeriksaan awal mendapati jika kren tersebut dialihkan kemungkinan besar jejantas berkenaan akan roboh.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang pula berkata,  jejantas dengan ketinggian 5 meter itu didapati tidak selamat untuk digunakan dan perlu dibina semula untuk keselamatan awam.

Jejantas yang rosak teruk
Susulan itu, binaan tersebut dilapor terpaksa diturunkan malam tadi.

"Jejantas ini rosak teruk dan tidak boleh digunakan lagi atas faktor keselamatan," katanya

Sementara itu, warganet mempersoalkan mengapa kenderaan berat seperti ini dibenarkan bergerak di atas jalan raya tanpa kenderaan pengiring.

"Sepatutnya lori yang bawa jentera berat ada eskot (pengiring)...eskot yang akan tahu tinggi ke rendah jambatan tu...kes macam ni dah banyak berlaku," kata Suhaimi Amy .

Sementara itu, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a comment

0 Comments