Rosmah sakit, perbicaraan ditangguhkan


PERBICARAAN
tuduhan rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Rosmah Mansor yang dijadualkan diadakan hari ini ditangguhkan.

Peguamnya, Jagjit Singh memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa Rosmah tidak sihat dan tidak dapat hadir ke mahkamah.

berdaarkan beberapa laporan media sebelum ini, Rosmah, 69, menghadapi tiga pertuduhan berhubung skandal projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah didakwa meminta RM187.5 juta dari Saidi Abang Samsudin, pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd.

Ia sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi projek tersebut.

Beliau juga didakwa dengan 2 tuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi.

Susulan itu, isteri kepada Najib Razak itu didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Jika sabit kesalahan, Rosmah boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi.
Selain itu difahamkan, Rosmah turut berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menjadikan kesemua pertuduhan yang dihadapi Rosmah adalah 20 kes. 
 

Post a comment

0 Comments