Rusuhan di India beransur reda


RUSUHAN yang sebelum ini dilapor memuncak di India dilapor sedikit reda.

Sumber polis berkata, ia susulan arahan kepada ribuan polis antirusuhan dan separa tentera meningkatkan rondaan di kawasan paling teruk terjejas di New Delhi yang mempunyai populasi 20 juta penduduk.

"Tiada insiden keganasan utama dilaporkan di kawasan terjejas sejak tengah malam tadi," kata jurucakap polis New Delhi, Mandeep Randhawa.

Pengarah Hospital Guru Teg Bahadur (GTB), Sunil Kumar sebelum ini memaklumkan hospital tersebut mendaftarkan 30 kematian manakala ketua doktor di Hospital Lok Nayak mengesahkan dua mangsa meninggal dunia.

"Kesemua mereka mengalami kecederaan akibat tembakan," kata Kumar dipetik media antarabangsa.

Terdahulu, kumpulan perusuh Hindu dan Muslim  saling bertempur selama dua hari berturut-turut bermula Isnin lalu ekoran Undang-undang Kerakyatan diumumkan kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi.

Kumpulan perusuh terbabit turut bertindak membakar ribuan harta-benda dan kenderaan hingga menyebabkan kemusnahan besar.

Pada Disember lalu, sekurang-kurangnya 30 terkorban kebanyakannya akibat tindakan kekerasan polis di Uttar Pradesh yang mempunyai populasi orang Islam terbesar di India.

Kebanyakan orang Islam percaya undang-undang tersebut satu bentuk diskriminasi terhadap mereka dan merupakan sebahagian daripada rancangan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi untuk menjadikan India sebagai sebuah negara Hindu. 

Post a comment

0 Comments