Sah Wabak Babi Afrika


PIHAK berkuasa Indonesia akhirnya berjaya merungkai misteri punca kematian kira-kira 1,000 ekor babi di Pulau Bali sejak beberapa bulan lalu.

Jurucakap agensi pertanian dan keselamatan makanan Bali, Ida Bagus Wisnuardhana berkata kematian babi tersebut menepati jangkaan awal ramai orang bahawa ia berpunca dari Wabak Babi Afrika (ASF).

"Kesemua babi yang mati disebabkan ASF. Kami telah menjalankan ujian terhadap sampel darah yang diambil pada bangkai-bangkai haiwan ini.

"Ujian tersebut dilakukan di makmal veterinar di Medan, Sumatera Utara kerana peralatan-peralatan ujian itu tiada di Bali," katanya dipetik agensi berita Jakarta Post.

Penternak babi di Sumatera Utara baru-baru ini tertanya-tanya punca kematian babi ternakan mereka dalam jumlah yang besar.

Sebanyak 88 ekor babi mati mengejut dalam tempoh dua bulan dengan Kabupaten Badung mencatatkan jumlah tertinggi kematian iaitu 598 ekor, diikuti Tabanan (219 ekor), Denpasar (45 ekor), dan masing-masing seekor di Gianyar, Bangli serta Karangasem.


Difahamkan,  ASF berpunca daripada virus Data Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang besar daripada keluarga Asfarviridae.

Kematian babi-babi tersebut turut membangkitkan kebimbangan ramai orang. ASF bagaimanapun tidak membahayakan kesihatan manusia.

Namun kata Ida, pihaknya percaya telah berjaya mengawal penyebaran penyakit tersebut selepas tiada lagi kematian babi dilaporkan sejak beberapa hari lalu.

Post a comment

0 Comments