SD sokong Tun M satu lagi cubaan ganggu HARAPAN


DAKWAAN wujudnya akuan bersumpah (SD) yang ditandatangani beberapa ahli Parlimen termasuk dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang kononnya bagi menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal dianggap sekadar khabar angin.

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau hanya mengetahui hal tersebut menerusi laporan berita.

"Setakat ini saya anggap khabar angin," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog bersama pihak industri di kementeriannya di Putrajaya siang tadi.

Saifuddin berkata, setakat ini tiada mana-mana pihak yang mendekatinya bagi memaklumkan kebenaran khabar angin itu.

"Kami tidak tahu, tidak ada pengesahan dan itu masih kekal sebagai berita yang dilaporkan. Tidak ada sesiapa yang tampil dan setakat yang saya semak tidak ada," katanya lagi.

Semalam, Portal Sarawak Report memetik sumber yang tidak didedahkan yang mendakwa bahawa ahli Parlimen dari UMNO, Pas, Bersatu selain ahli Parlimen KEADILAN yang memihak kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali 'telah digesa untuk datang ke Kuala Lumpur' bagi menandatangani SD itu dalam tempoh 48 jam terakhir.

Khabar ingin itu dilihat sebagai satu lagi usaha dilakukan pihak tertentu bagi menghalang Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai perdana menteri seperti disepakatai Pakatan Harapan (HARAPAN).

PAS baru-baru ini bercadang untuk membawa usul percaya ke Dewan Rakyat bagi menyokong perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Cadangan itu yang muncul selepas khabar angin pembentukan satu gabungan politik baharu dikenali sebagai Pakatan Nasional gagal dikritik ramai kerana dilihat aneh dan seolah-olah mahu mengheret perdana menteri supaya memungkiri janji menyerahkan jawatan kepada Anwar. 

Anak perdana menteri, Mukhriz Mahathir sendiri tampil mempersoal cadangan PAS itu tiada keperluan dan berkata, soal peralihan kuasa antara Dr Mahathir telah sering kali dijelaskan kedua-dua pihak dan ia sepatutnya tidak dipersoal lagi.

BACA:
Anwar selar cadangan PAS bawa usul percaya 

Anwar dalam satu kenyataannya berkata, usaha-usaha menyebar khabar angin seperti itu satu cubaan jahat untuk memporak perandakan keharmonian dalam HARAPAN supaya dilihat tidak stabil.

 6.3

Post a comment

0 Comments