Selepas koronavirus, China diserang H5N1


CHINA sekali lagi ditimpa musibah. Selepas penularan wabak koronavirus yang membunuh lebih 400 orang di negara itu, China dilanda satu lagi wabak.

Kali ini, berlaku penularan wabak selesema burung H5N1 di sebuah ladang ternakan di bandar Shaoyang di wilayah selatan Hunan.

Kira-kira 4,500 daripada 7,859 ayam yang diternak di ladang itu dilaporkan mati akibat jangkitan virus tersebut.

Keadaan itu sedikit sebanyak turut menimbulkan rasa panik dikalangan rakyat negara ini sekiranya ada bekalan makanan telah diimport dari wilayah tersebut.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam satu kenyataan menegaskan, Malaysia tidak mengimport haiwan hidup dan produk dari Shaoyang.

Sebaliknya jelas Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, Negara ini hanya mengimport keratan ayam daripada loji pemprosesan di Liao-cheng yang terletak kira-kira 1,313 kilometer dari lokasi penularan wabak H5N1.

Malah tambahnya China telah mengambil tindakan untuk mengawal penyakit H5N1.

Difahamkan, pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah memusnahkan 17,828 ayam secara keseluruhan bagi membendung wabak itu.

Sementara itu tambah Dr Quaza, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan sentiasa memantau keadaan dan berhubung dengan World Animal Health Organisation (OIE) untuk mengetahui status kedudukan sebenar dari semasa ke semasa.

“Jabatan sentiasa mengambil sampel keratan ayam yang dibawa masuk untuk diuji bagi penyakit H5N1.

“Setakat ini tiada sampel yang positif. Langkah berjaga-jaga akan ditingkatkan dan sampel akan diambil daripada setiap konsainan untuk diuji,” tegasnya.

Post a comment

0 Comments