Seorang lagi penyebar berita palsu diburu


SIKAP segelintir warganet yang gemar berkongsikan berita palsu sangat menghairankan.

Mereka, biarpun sering diberi amaran dan peringatan agar tidak melakukan perkara itu tetap ingkar. Walaupun tangkapan dilakukan terhadap penyebar berita palsu, warganet 'sakit' tidak berhenti menyebarkan berita palsu.

Tindakan mereka seolah-olah mahu mencabar kewibawaan pihak berkuasa.

Terbaharu, polis  sedang mengesan individu yang menyebarkan berita palsu yang mendakwa terdapat sebuah kapal dari Wuhan berlabuh di Pelabuhan Kuala Linggi, Alor Gajah baru-baru ini.

Berita tidak sahih itu kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris  ditularkan di media sosial menerusi akaun Facebook menggunakan nama Shahnol Sundara.

 
Menurutnya, laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) hari ini selepas menyedari maklumat itu boleh mencetuskan suasana panik dan kebimbangan orang ramai.

"Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Durian Tunggal berhubung penyebaran berita palsu itu.
 Hantaran palsu diviralkan


"Polis sedang mengesan individu yang menyebarkan maklumat tidak tepat itu," katanya dipetik laporan Sinar.

Tambah Mohd Yhazid,  kertas siasatan berhubung penularan  muat naik itu disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Melaka menafikan dakwaan sebuah kapal membawa krew kapal dari Wuhan yang berlabuh di Pelabuhan Kuala Linggi pada Isnin lalu seperti yang tular melalui satu rakaman video.

Pengarahnya, Dr Ismail Ali berkata  kapal yang berlabuh bersama anak kapal bukanlah dari Wuhan, China.

Post a comment

0 Comments