S'pura keluar Notis Jangan Keluar Rumah


KEMENTERIAN
Kesihatan Singapura (MOH) mengumumkan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) untuk rakyat negara itu.

Menurut laporan Channel News Asia, bagaimanapun notis itu hanya berkuatkuasa kepada pekerja pemegang pas jangka panjang yang kembali ke Singapura dari China dua minggu lalu.

Sebagai sebahagian daripada keperluan notis, semua orang perlu berkurung dalam rumah pada setiap masa selama 14 hari berkuat kuasa dari jam 11.59 malam (waktu tempatan) malam ini termasuk mereka yang mempunyai sejarah perjalanan ke wilayah Hubei baru-baru ini.

Notis itu adalah lebih ketat berbanding Cuti Ketidakhadiran (LOA) di mana mereka yang berada di bawah perintah itu masih boleh keluar rumah untuk membeli makanan atau keperluan rumah.

MOH berkata, dengan pelaksanaan SHN, pemerintah tidak akan lagi mengeluarkan LOA kepada mereka yang kembali ke Singapura.

"Kebanyakan mereka di bawah rejim ini akan selesai menjalani LOA dalam beberapa hari lagi dan kami akan terus memastikan pematuhan mereka sepanjang tempoh itu.

"Bagi pekerja yang pulang dari tanah besar China, kami sudah meminta majikan mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Tenaga Kerja (MOM) sebelum mereka kembali ke Singapura. Jika majikan perlu bantuan, MOM akan menghubungkan mereka dengan pengendali hotel atau asrama supaya pekerja boleh menjalani SHN," katanya MOH.

Difahamkan,pelaksanaan SHN adalah satu lagi langkah berjaga-jaga yang diambil untuk meminimumkan risiko tambahan kes import koronavirus di negara itu.

Sepanjang tempoh SHN, akan terus melaksanakan pengawasan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan setiap individu terhadap arahan itu, namun sokongan bagi mereka yang memerlukan bantuan termasuk akses kepada makanan dan keperluan harian lain akan diberikan.

Mereka yang melanggar SHN bakal dikenakan penalti dan boleh didakwa mengikut Seksyen 21A Akta Penyakit Berjangkit.

Post a comment

0 Comments