Sudah ada perjanjian, Anwar akan dilantik PM - Khalid


PENGARAH Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad hari ini tampil membidas tindakan pihak tertentu yang cuba menggagalkan pelan peralihan kuasa perdana menteri.

Bercakap selepas satu program di Sentul hari ini Khalid berkata, tiada pihak boleh menafikan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal dilantik perdana menteri kelapan.

Tambah Menteri Wilayah Persekutuan itu, perkara mengenainya telah dipersetujui dan akan diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Majlis presiden akan bertemu, berbincang dan memutuskan perkara ini secara bersama.

"Saya rasa perkara ini tak perlu dipolitikkan kerana sepertimana majlis presiden menetapkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai PM (perdana menteri), majlis presiden juga akan menentukan tempoh peralihan itu," katanya dipetik.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media berhubung pendirian Dr Mahathir yang akan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri selepas Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Tambah Khalid, tempoh peralihan itu dijangka berlaku pada bila-bila masa selepas tempoh dua tahun.

"Benda ini dah dipersetujui dan diketahui umum, hanya masa sahaja belum ditetapkan tapi dalam lingkungan dua tahun.

"Apabila dikatakan dua tahun, waktunya adalah pada bila-bila masa dari sekarang seperti 'antara zohor dengan asar' janji tidak melebihi tiga tahun," katanya lagi.

Parti PAS sebelum ini berkata, mahu membawa usul 'percaya' kepada Dr Mahathir untuk memimpin negara sehingga habis penggal. cadangan dibangkitkan pertama kali oleh Timbalan Presiden parti itu, Tuan Ibrahim Tuan Man itu mendapat kritikan kerana ia tidak pernah dilakukan mana-mana negara yang mengguna pakai sistem pentadbirans ama seperti Malaysia.

Dr Mahathir pada semalam turut menegaskan bahawa beliau tetap akan mengotakan janjinya dan berkata, sudah terlalu letih untuk meneruskan tugas yang digalas terutama ketika usianya telah masuk angka 95 tahun.

“Saya dengar cerita macam-macam, nak suruh saya kekal 22 tahun lagi.Saya sudah 94 tahun.

“Tak lama lagi 95. Mana boleh tahan. Saya janji akan letak jawatan selepas Apec, itu saya pegang kepada janji saya," tegas Dr Mahathir.

Post a comment

0 Comments