Tentera 'mengamuk' di Facebook Live belum tumpas


SEORANG anggota tentera Thailand membuat tindakan tidak terjangka apabila melancarkan serangan sendirian di bandar Nakhon Ratchasima (Korat) di timur laut Bangkok hari ini.

Lebih mengejutkan, lelaki itu turut memaparkan serangan dilancarkan itu menerusi aplikasi Facebook Live miliknya dengan lengkap berpakaian tentera.

Video dan foto yang beredar dalam talian menunjukkan adegan panik, dengan orang ramai melarikan diri dan bunyi tembakan automatik mengisi ruang udara.

Ketika laporan ini disiarkan, sekurang-kurangnya 17 orang termasuk pihak berkuasa dan orang awam dilapor terbunuh. 21 orang lain turut dilapor cedera dalam serangan rambang menggunakan mesingan tersebut.
Muat naik di FB


Pihak berkuasa yang mengesahkan insiden itu berkata tidak mengetahui motif serangan.

Namun mendedahkan identiti penyerang yang dikenali sebagai Sarjan Mejar Jakapanth Thomma.

Lelaki itu turut didakwa mula 'buat hal' di sebuah berek tentera di utara timur Nakhon Ratchasima sebelum tiba-tiba menuju pusat beli belah, Terminal 21.

“Polis telah mengepung kawasan pusat beli-belah Terminal 21, namun masih belum berjaya memberkas penyerang itu," kata jurucakap polis, Leftenan Kolonel Mongkol Kuptasiri.

Sementara itu, jurucakap Kementerian Pertahanan memaklumkan Jakapanth turut menyerang pegawai atasannya sebelum melepaskan tembakan di kem tentera, kuil Buddha dan sebuah pusat beli-belah.

Lelaki itu turut didakwa mencuri kenderaan tentera serta memuat naik gambar serta video memaparkan dirinya dengan pakaian seragam ketika kejadian tersebut.

Ketika berita ini ditulis, lelaki tersebut masih belum ditangkap, dia didakwa menjadikan beberapa orang sebagai tebusan di dalam pusat membeli belah tersebut.


UPDATE: Tentera 'mengamuk' di Facebook Live belum tumpas

Insiden terbaharu di Bangkok ini mengimbau kembali insiden serangan pengganas kulit putih, Brenton Tarrant yang menyerang dua masjid di Christchurch, New Zealand yang juga dipaparkan menerusi Facebook Live pada Mac 2019.

Insiden serangan terhadap orang awam yang membunuh 51 nyawa itu menerima kecaman seluruh dunia.

Post a comment

0 Comments