Tentera mengamuk sempat tulis status akhir


INSIDEN menggemparkan dekat sebuah pusat beli belah di timur laut Bangkok oleh seorang anggota tentera disahkan berpunca dari masalah peribadi.

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha dipetik berkata, beliau berharap insiden itu menjadi krisis memalukan melibatkan anggota tentera terakhir di negara itu.

"Ia merupakan kejadian yang jarang berlaku dan saya mahu ia menjadi krisis terakhir yang berlaku di negara ini," katanya hari ini ketika melawat mangsa cedera dalam insiden tersebut di bandar Nakhon Rathcasima.

Bekas ketua tentera Thailand itu turut menyelar kawalan keselamatan lemah di sebuah depot simpanan senjata sehingga menyebabkan suspek Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma, 32, melarikan mesingan M60, selaras senapang dan peluru.

"Kejadian ini berlaku bukan kerana kecuaian. Kita tidak meninggalkan depot senjata begitu sahaja kerana perlu ada orang yang menjaga pintu masuk," tegasnya lagi.

Semalam, penduduk Thailand  gempar setelah seorang anggota tentera mengamuk. Sekurang-kurangnya 26 termasuk remaja berusia 13 tahun terbunuh manakala 57 lagi dilapor cedera.

Suspek sebelumnya menembak mati pegawai atasannya, Kolonel Anantharot Krasae, ibu mertua mangsa dan seorang lagi anggota tentera di kem Suatham Phithak terletak kira-kira 250 kilometer dari Bangkok selepas timbul perselisihan dengan mangsa berhubung urusan jual beli tanah.

Beberapa jam selepas kejadian, Jakrapanth ditembak mati oleh anggota keselamatan negara itu dalam detik dramatik berlarutan selama 17 jam itu.

Sementara itu, Facebook dilapor telah menuntut akaun suspek setelah insiden amukan itu disiar secara langsung melalui laman sosial itu.

"Kami turut simpati dengan mangsa, keluarga mereka dan komuniti yang terjejas dengan tragedi di Thailand.

Tiada tempat untuk mereka yang melakukan kekejaman seperti itu dan kami tidak membenarkan pengguna lain menyokong serangan tersebut," ujar laman media sosial itu dalam satu kenyataan.

Sebelum dibunuh, Jakrapanth sempat memuat naik status 'Patutkah saya serah diri?'


 

Post a comment

0 Comments