Terkejut 'port' layan ketum diserbu PGA


KEASYIKAN sekumpulan lelaki yang sedang minum air ketum dalam sebuah pondok di Kampung Batu 20 Jalan Padang Besar terhenti apabila 'port' mereka diserbu kelmarin.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kumpulan itu yang terkejut dengan kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA)  sehingga bertempiaran lari ke kawasan semak.

Menurut Abdul Ghani, pihaknya turut mendapati ketika serbuan, sebahagian lelaki terbabit sedang membungkus air ketum yang siap diproses.

"Pemeriksaan di pondok terbabit menemui 119 bungkusan plastik air ketum, empat botol bersaiz 1.5 liter mengandungi air ketum, 17 botol ubat batuk dan tujuh gulung daun ketum dianggar bernilai RM1,915.

"Anggota serbuan berjaya menahan 23 lelaki termasuk 11 warga Thailand berusia lingkungan 19 hingga 67 tahun," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, seorang doktor menolak anggapan bahawa air ketum mampu merawat penyakit diabetes dan darah tinggi kerana tiada bukti secara klinikal atau saintifik bahawa ia mampu mengubati penyakit ‘dua serangkai’ itu.

Pakar Perunding Kanan Perubatan Dalaman, Hospital Pakar KPJ Perlis, Dr Nurazam Omar sebaliknya berkata, ketum atau nama saintifiknya ‘Mitragynine’ mempunyai persamaan dengan dadah jenis opiat kerana boleh membawa kepada proses khayal.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita 21 buah motosikal pelbagai jenis selain 24 unit telefon bimbit.

Katanya, kesemua tangkapan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk tindakan lanjut.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanyadipetik.

Post a comment

0 Comments