Tertuduh hina Islam diarah jalani pemeriksaan mental


INDIVIDU yang sebelum ini menghina Islam dengan memijak al-Quran dan menyiarkanya secara langsung tindakan itu di Facebook dihadapkan ke Mahkamah majistret Johor Baharu.

Mohd Zulkifli Ali, 33 mengangguk faham namun tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurasidah A Rahman.

Penganggur itu didakwa atas dua pertuduhan yang dilakukan di lokasi dan masa sama iaitu di bilik sebuah hotel di Taman Tebrau Jaya, pada 8.40 pagi.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mencemarkan al-Quran yang suci bagi umat Islam dengan memijak niat menghina Islam.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Zulkifli didakwa mengeluarkan kata-kata menghina Islam yang didengari oleh seorang individu dengan niat yang disengajakan iaitu melukakan perasaan keagamaannya

Bagi kesalahan pertama, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan kedua, lelaki itu  dituduh dan boleh dikenakan hukuman dibawah Seksyen 298 Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dalam tempoh boleh sampai setahun dengan denda atau kedua-duanya.

Khamis lalu, tertuduh melakukan perbuatan memijak al-Quran dan menghina Islam yang dibuat secara langsung di Facebook sekali gus menimbulkan kemarahan umat Islam. Pada Ahad, tertuduh direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Nurasidah sementara itu mengarahkan tertuduh untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai. Perintah itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan pihak pendakwaan dan mahkamah mengetahui status sebenar kesihatan mental Mohd Zulkifli.

Mahkamah menetapkan 17 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan dokumen kesihatan mental tertuduh.
 

Post a comment

0 Comments