Tindakan Tun M tak tepati peraturan mesyuarat dewan


TIADA Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berlangsung pada Isnin ini, tegas Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, beliau sudah menerima surat pemakluman memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu.

Bagaimanapun tegasnya, surat ditandatangani Perdana Menteri Interim itu didapati tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11(3) kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap.

"Mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan setakat ini tiada notis dikeluarkan.

"Di samping itu, saya juga berpandangan keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan proses pemilihan Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan.

Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini berfungsi sebagai Perdana menteri Interim pada semalam membuat kenyataan mengejutkan membuat ketetapan Dewan Rakyat akan bersidang Isnin ini bagi menentukan siapa Perdana Menteri menerusi undian majoriti.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) berpendirian, tindakan dilakukan Dr Mahathir semalam sebagai mendahului titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sehubungan itu, Majlis Presiden mengingatkan semua pihak agar menghormati budi bicara dan wewenang (hak dan kuasa) Yang di-Pertuan Agong dalam menyelesaikan konflik politik yang sedang melanda negara ketika ini.

Majlis Presiden berpendirian bahawa hak dan kuasa melantik seseorang Perdana Menteri terletak di tangan Yang di-Pertuan Agong, seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Post a comment

0 Comments