Tubuh k'jaan haram akan hancurkan negara - Dr. Jeniri


SEBARANG usaha untuk menubuhkan kerajaan menerusi pintu belakang adalah mengkhianati rakyat, tegas seorang penganalisis politik.

Prof Madya Dr. Jeniri Amir berkata, sekiranya benar wujud usaha untuk menjalinkan kerjasama antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ia merupakan tindakan tidak bermoral.

Malah ia jelasnya jelas membelakangi hak rakyat memilih pemerintah menerusi pilihan raya.

“Saya tidak fikir itu wajar. Kalau mahu tubuhkan kerajaan harus kembali kepada rakyat, serahkan hak kepada kepada rakyat tentang siapa yang berhak memerintah negara.

"Bukan dengan pendekatan yang tidak wajar apatah lagi apabila pihak tertentu ada kepentingannya.

“Ini tidak baik untuk masa depan politik negara kalau kita benarkan ini berlaku, bayangkan kesannya kepada negara,” katanya.

Tambah Jeniri, agenda disebalik desas-desus itu turut boleh dipersoalkan.

Ia jelasnya terlalu merbahaya kerana ia akan mencetuskan krisis politik dalam negara yang bukan sahaja memberi kesan kepada rakyat malah juga pelabur asing.

"Saya tidak fikir ini adalah bermoral dari segi politik, hanya untuk memenuhi agenda semata-mata,” kata Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dipetik MalaysiaGazette.

Jeniri berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rakaman audio tiga minit 18 saat yang mirip suara Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi ketika muncul dalam mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional baru-baru ini.

Dalam rakaman audio itu, Ahmad Zahid didakwa menyatakan bersandarkan Muafakat Nasional, UMNO perlu mengikut tindakan Pas ‘supaya tidak tertinggal di belakang’.

“Tun harus kembali kepada persetujuan yang telah dimeterai sebelum PRU yang lalu iaitu tentang kepada siapa jawatan Perdana Menteri itu berhak diserahkan,” tambahnya Jeniri lagi yang mengingatkan harapan digantung rakyat pada PRU lalu.

Sementara itu jelasnya, sekiranya benar khabar angin itu benar, ia dijangka turut akan memberi kesan kepada politik dalaman Umno.

Ini kerana jelasnya, pimpinan UMNO sendiri terbagi kepada dua puak iaitu yang menyokong DatuK Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir.

Post a comment

0 Comments