Tun-M rosakkan nama sendiri jika mungkir janji - ADUN


PENGERUSI 
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU),Tun Dr Mahathir Mohamamd hanya akan merosakkan namanya sendiri sekiranya mungkir terhadap janji menyerahkan kerusi perdana menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

ADUN Sungkai, Datuk A Sivanesan menjelaskan, selain merupakan satu janji yang perlu dipenuhi, peralihan kuasa yang disebut-sebut sebelum ini juga sebahagian langkah menjaga kepentingan masa depan Malaysia.

Bagaimanapun jelas Sivanesan, beliau masih yakin Dr Mahathir akan menunaikan janji tersebut.

"Seandainya Dr Mahathir tidak serahkan kuasa, beliau akan merosakkan namanya sendiri sebab ini adalah janjinya kepada rakyat.

"Beliau berada dalam politik bukan satu atau dua tahun, satu dunia sudah mengenalinya,

"Pada usia 94 tahun, saya tidak menjangka Dr Mahathir akan menghancurkan namanya," katanya dipetik laporan sebuah portal.

A Sivanesan
Ditengah kemelut kemungkinan berlakunya usaha mewujudkan kerajaan 'pintu belakang' yang mula diperkatakan sejak tahun lalu, Dr Mahathir buat sekian kalinya menyatakan beliau akan berpegang pada janji menyerahkan tampuk kepimpinan negara kepada Anwar.

“Saya tidak akan memungkiri janji, apa sahaja yang berlaku saya tetap akan berpegang pada janji saya,” katanya dalam sesi temu bual bersama saluran berita antarabangsa Turki TRT tahun lalu.

Anwar dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata, beliau tiada masalah sekiranya proses itu dilewatkan sedikit malah menyuarakan kesediaan membuka ruang untuk Dr Mahathir menasihati kerajaan sebaik beliau dilantik sebagai perdana menteri kelak.

Sebagai rekod, proses peralihan kuasa diantara Dr Mahathir kepada Anwar telah disepakati oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

Post a comment

0 Comments