Wabak kencing tikus kembali di Gunung Pulai


TAMAN Eco Rimba Gunung Pulai Satu di Kulai, Johor, ditutup bermula semalam susulan kes leptospirosis (kencing tikus).

Pegawai Daerah Kulai, Mohd Radzi Mohd Amin berkata, pihaknya mendapat makluman penutupan itu dari Pejabat Kesihatan Daerah Kulai.

Katanya, notis perintah tutup  selama dua minggu itu adalah tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Penutupan ini adalah susulan beberapa kes leptospirosis yang dilaporkan di kawasan itu dan bagi menjalankan kerja pembersihan operator taman berkenaan,” katanya dipetik satu laporan media.

Susulan itu, Mohd Radzi menasihatkan orang ramai agar tidak mengunjungi pusat rekreasi berkenaan sementara tugas pembersihan dilakukan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membilas badan dengan air paip setiap kali mandi di air terjun di kawasan terbabit,” tambahnya.

Pusat Rekreasi Gunung Pulai, sebelum ini pernah ditutup antara Mei dan Jun 2017 juga akibat kencing tikus.

Namun awal Januari lalu , kawasan air terjun Gunung Pulai 1 dianggap bebas dari wabak itu susulan kerja-kerja pembersihan  sukarela dilakukan beberapa badan bukan kerajaan.


BACA: Air Terjun Gunung Pulai 1 bebas kencing tikus

Sebagai rekod, Leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira yang disebarkan melalui haiwan. Jika tidak dirawat segera, penyakit ini boleh merebak dan membawa maut.

Keadaan sampah sarap yang dibuang sewenangnya disifatkan sebagai antara punca penularan wabak ini di beberapa kawasan perkelahan.

Post a comment

0 Comments