Warga emas digilis, polis sedang kesan kenderaan terbabit


SEORANG wanita warga emas ditemui maut dipercayai digilis kenderaan yang tidak dikenal pasti di Kapar Batu 13, Klang, semalam.

Dalam kejadian 11.20 pagi itu, mangsa, P Annavey, 66, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada seluruh tubuh.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis  Suzuki RC 100S dipercayai terbabit kemalangan dengan kenderaan tidak dikenal pasti.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Abdul Azim Mazlan di talian 016-7086161.

Sementara itu tambah Azman, kemalangan berlaku apabila mangsa datang dari Jalan Sungai Serdang menghala ke Jalan Kapar untuk ke Kuala Selangor.

“Semasa mangsa keluar simpang, kenderaan tidak dikenali yang datang dari arah Pekan Kapar menghala ke Kuala Selangor telah melanggar mangsa dan menggilisnya.

“Akibat kemalangan itu, mangsa maut akibat parah seluruh anggota badan,” katanya dipetik.

Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan kenderaan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.

Post a comment

0 Comments