Warga emas maut dirempuh tayar tercabut


SEORANG
pejalan kaki warga emas dilapor maut dirempuh sebiji tayar yang tercabut dari sebuah lori.

Dalam kejadian kira-kira 10.20 pagi di Kilometer 9 Jalan Lahad Datu - Sandakan semalam,  mangsa berusia 64 tahun itu sedang dalam perjalanan ke kediamannya di Kampung Tamoi dekat  Lahad Datu.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor, lori membawa muatan minyak sawit itu yang datang dari arah Jalan Sandakan telah tercabut tayar tengah di sebelah kiri ketika tiba di lokasi kejadian.

"Mangsa yang berjalan kaki di bahu kiri jalan telah terkena tayar tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Nasri berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala disahkan meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.

Susulan itu, mayat dibawa ke Hospital Lahad Datu untuk dibedah siasat manakala pemandu lori
warga Indonesia berusia 42 tahun pula ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan awal mendapati, lelaki terbabit tidak memiliki lesen memandu. Ujian air kencing dilakukan terhadap pemandu terbabit negatif dadah," tambahnya. 

Post a comment

0 Comments