WHO puji tindakan M'sia urus koronavirus


TINDAKAN pihak berkuasa Malaysia mengurus dan membendung penularan jangkitan novel Coronavirus 2019 (2019-nCoV) mendapat pujian pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)

Dr Lo Ying-Ru yang dilantik mewakili pertubuhan itu di Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura berkata, kerajaan telah melaksana dengan cemerlang siasatan kes koronavirus.

Selain itu, kerajaan telus berkongsi perkembangan terkini, bukan hanya kepada pertubuhan itu tetapi juga kepada orang ramai.

“Kami (WHO dan orang ramai) boleh melihat semua maklumat dan maklumat itu dikeluarkan dengan pantas di media sosial serta laman sesawang kementerian kesihatan, jadi saya rasa mereka telah melakukannya dengan baik sekali.

“WHO juga sentiasa berhubung dan berkongsi maklumat (dengan pihak berkuasa Malaysia), seperti garis panduan terkini... mereka meminta (garis panduan dalam menangani koronavirus) dan menggunakannya. (Secara keseluruhan) mereka begitu bersedia, berani dan rajin,” katanya dipetik Bernama.

Pada 26 Januari lalu, Kerajaan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan langkah menangani penularan koronavirus. Ia dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Ia turut dihadiri Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador; Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

Semenjak mesyuarat itu diadakan, kerajaan mengambil pendekatan lebih proaktif dalam isu-isu berkaitan penularan koronavirus. Ia termasuk usaha kemanusiaan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Wuhan.

Sementara itu, Dr Ying-Ru menasihati rakyat Malaysia yang mengalami gejala penyakit pernafasan seperti batuk, bersin atau sesak nafas agar segera mendapatkan nasihat perubatan.

“(Orang ramai yang mempunyai gejala ini) juga perlu mendedahkan sejarah perjalanan mereka bagi membolehkan pihak berkuasa perubatan menentukan sama ada anda berisiko menerusi satu ujian diagnostik.

“Tetapi saya rasa apa yang lebih penting adalah untuk mengingatkan semua orang bahawa mereka boleh melakukan sesuatu untuk mencegah jangkitan virus ini seperti mencuci tangan dan memakai topeng muka,” katanya lagi.
 

Post a comment

0 Comments