Zaleha Hamid dilapor semakin uzur


KESIHATAN Penyanyi veteran, Zaleha Hamid, 65, dilapor bertambah uzur setelah diserang penyakit angin ahmar pada pertengahan Disember lalu.

Penyanyi asal Pulau Pinang itu yang terkenal dengan lagu berkonsep dandut dan pop tradisional apada era 80-an itu kini dilapor hanya terlantar.

Suaminya, Ungku Sulaiman Ungku Aziz, 55, berkata, keadaan isterinya semakin uzur apabila tidak lagi boleh menjamah makanan sejak terkena serangan itu.

Zaleha jelasnya hanya mampu minum susu melalui tiub.
 

“Mama hanya diberikan minum susu melalui tiub. Buang air pun guna tiub.

“Saya pernah menyuapkan bubur, tetapi asyik tersedak-sedak. Air meleleh apabila diberikan minum menggunakan straw.

“Saya dinasihatkan doktor memberikan Mama susu rendah kalsium, tekaknya seperti tidak boleh menerima makanan,” katanya dipetik satu laporan media.

Ungku Sulaiman berkata, dia menyedari perubahan isteri pada hari kemunculannya dalam program GV6.

“Perubahan ketara apabila bergurau atas pentas bersama pengacara, Nabil Ahmad. Gerak tubuh dan pertuturan seperti ada lain sikit,” katanya.

Sementara itu, Ungku Sulaiman menzahirkan sedikit rasa terkilan apabila tiada lagi wakil persatuan yang menziarahi isterinya.

Beliau turut mengharapkan ada pihak yang tampil membantu meringankan beban dihadapi mereka.

“Saya mengharapkan persatuan dapat menghulurkan sumbangan meringankan bebanan kami.

“Ubatan, pampers dan susu memerlukan perbelanjaan tinggi, tetapi kami kurang berkemampuan. Sejujurnya, kami anak beranak hidup seadanya, pendapatan saya pula tidak seberapa,” katanya.

Difahamkan, Zaleha kini semakin kurus, kaki dan tangan kanan pula kejang dan tidak bergerak. 

Post a comment

0 Comments