2 pencari emas dipercayai tertimbus runtuhan tanah


DUA lelaki pencari emas dipercayai tertimbus tanah runtuh di kaki Gunung Jerai petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, dipetik berkata, dua lelaki itu dikenali sebagai Md Noor Shaari, 68, dan rakannya Roslan Saidin, 52.

Menurut Adzli mereka sempat menghubungi seorang rakan mereka sebelum kejadian.

"Seorang mereka sempat menghubungi rakan di luar memintanya menghantarkan bekalan air.

“Bagaimanapun, rakan mangsa yang tiba kira-kira jam 4 petang gagal menemui mangsa sebelum mendapati terdapat kesan runtuhan di kawasan berkenaan,” katanya dipetik.

Pihak berkuasa polis menemui kereta mangsa diletak berhampiran kawasan kejadian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, seramai 38 anggota dikejarkan untuk operasi mencari.

Kesemua mereka terdiri daripada anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) polis dan pegawai Jabatan Perhutanan Negeri

Mereka bagaimanapun berdepan kesukaran mengeluarkan mangsa.

“Anggota bomba berhadapan kesukaran kerana kedalaman kawasan runtuhan lebih 12 meter dan mangsa dianggarkan tertimbus pada kedudukan antara 1.5 hingga tiga meter.

“Operasi mencari ditangguhkan sementara pada jam 12 tengah malam ini berikutan keadaan kawasan yang berbahaya dan tidak stabil.

“Kita menjangkakan operasi akan disambung menggunakan jentera pengorek pada jam 8 pagi ini,” katanya.

Post a comment

0 Comments