3 kematian, 156 kes baharu 91 pesakit pulih


KETUA
Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah petang ini mengumumkan tiga lagi kes kematian akibat koronavirus (covid-19).

Bercakap dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya, Dr Noor Hisham memberitahu setakat ini jumlah kumulatif kes kematian berkaitan wabak itu ialah sebanyak 37 kes.

Kematian ke-35 katanya membabitkan seorang wanita berusia 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis serta ada sejarah perjalanan ke Indonesia.

“Wanita itu dirawat di Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac (semalam) jam 4 petang.

“Kematian ke 36 pula membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun dan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac, sebelum disahkan meninggal jam 8.10 pagi tadi," jelasnya.

Sementara itu tambah Dr Noor Hisham, wanita berusia 46 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan autoimun menjadi mangsa ke-37.

Mangsa sebelum ini jelasnya dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia jam 9.02 pagi tadi.

Sebagai rekod, autoimun adalah keadaan dimana sistem kekebalan tubuh seseorang menyerang tubuh sendiri dengan melepaskan protein yang disebut autoantibodi untuk menyerang sel-sel tubuh yang sehat.

Sementara itu tambah Dr Noor Hisham lagi, sehingga jam 12 tengah hari ini 156 kes baharu dilaporkan dan menjadikan keseluruhan 2,626 kes.

“Sehingga kini 94 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dimaklumkan juga 91 kes sudah pulih dan dibenarkan pulang hari ini. Ia jumlah terbesar pesakit dibenarkan pulang setakat ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 479 kes (18.2 peratus berbanding jumlah keseluruhan kes),” tambahnya.

Post a comment

0 Comments