AMK anggap 'gimik politik', selar tindakan menteri


TINDAKAN seorang menteri dibawah pentadbiran Muhyiddin yang mengenakan pakaian perlindungan peribadi (PPE) bagi melakukan apa yang dianggap sebagai 'gimik' dikritik Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Ketuanya, Akmal Nasir berkata, sekarang bukanlah masa untuk menteri mencari publisiti ataupun membazirkan sumber yang ada ketika negara dalam situasi sukar bagi meraih publisiti ketika rakyat sedang tertekan menghadapi wabak koronavirus (Covid-19).

"Hentikan gimik politik. Sekarang bukanlah masa untuk menteri cari publisiti.

"Jangan bazirkan sumber. Dalam keadaan kita kekurangan PPE dan ada petugas terpaksa gunakan plastik sampah untuk lindungi negara," katanya dipetik Malaysiakini.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Baharu merujuk tindakan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang turut serta pelaksanaan sanitasi di Kuala Lumpur melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, pasukan polis, majlis perbandaran, dan juga Kementerian Kesihatan semalam.

Gambar yang tersebar turut menunjukkan Zuraida diiringi beberapa individu lain. 

"Sumber tenaga yang boleh digunakan tujuan lain terpaksa mengiring dan teman menteri buat gimik," tambah Akmal lagi.

Akmal sementara itu menegaskan bahawa menteri sepatutnya lebih peka dan simpati terhadap nasib rakyat.

"Menteri perlu lebih peka dan simpati dengan nasib rakyat dalam kedaan rakyat terpaksa berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP)," jelasnya lagi.

Post a comment

0 Comments