Angka kematian akibat koronavirus meningkat kepada 6


JUMLAH kematian akibat wabak koronavirus (Covid-19) di Malaysia kini meningkat kepada 6.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah siang tadi mengumumkan seorang mangsa yang sebelum ini dirawat di Hospital Melaka meninggal dunia kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Mangsa, seorang lelaki berusia 50 tahun sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

"Mangsa diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi dan ketika dalam penjagaan di ICU. Kesihatannya merosot dan disahkan meninggal dunia awal pagi tadi," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, dua beranak dari sebuah kampung di Kuching merupakan korban terbaharu di Sarawak.

Mangsa pertama Rakayah Drahman, 79 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.15 pagi 18 Mac lalu manakala anaknya, Norhafizah Abdul Rahman, 40 tahun meninggal dunia pada jam 1.20 petang tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, pelaporan kes kematian Rakayah lambat diterima daripada hospital swasta yang merawat kes kerana menunggu keputusan ujian makmal yang telah dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur.

Sebelum ini tiga kes kematian dilaporkan membabitkan  lelaki yang menyertai himpunan Tabligh di Petaling Jaya dan seorang paderi dari Sarawak.

Post a comment

0 Comments