Anwar gesa bantu golongan terjejas

 
PENTADBIRAN
Muhyiddin Yasin digesa segera menyalurkan bantuan kepada golongan yang bergaji harian, agar mereka tidak terjejas sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

Gesaan itu dibuat presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui siaran di laman Facebooknya.

“Kita jangan lupa ramai penjaja, peniaga kecil, nelayan, pekebun kecil yang kerja kais pagi makan pagi.

“Kalau tidak ditentutkan bantuan segera, mereka akan melahap kelaparan,” katanya.

Terdahulu pentadbiran Muhyiddin menguatkuasa perintah kawalan pergerakan yang bermula hari ini hingga 31 Mac.

Ia bertujuan untuk membendung penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19) yang semakin memburuk dengan menyekat pergerakan umum.

Walaupun kerajaan telah membuat pengecualian ke atas beberapa sektor dan perkhidmatan yang penting dan terpilih, sebahagian besar telah dinasihatkan supaya tinggal di rumah.

Perintah itu turut menyaksikan pasar tani dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi.

Anwar yang menyokong usaha mengentikan penularan wabak itu bagaimanapun menegaskan nasib golongan terbabit wajar juga diberi perhatian.

“Mereka bukan menteri dengan gaji besar, mereka hidup dalam keadaan sangat sederhana.

“Tak ada simpanan lebih satu atau dua hari. Ini juga perlu tindakan, belum ada kenyataan sedemikian. Belum ada suara tegas kementerian kewangan,” tambahnya.

Anwar sementara itu melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan potensi gelombang ketiga wabak Covid-19. Pentadbiran Muhyiddin tegasnya perlu mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan bahawa perkhidmatan kesihatan tidak akan terjejas sekiranya ini berlaku.

Post a comment

0 Comments