Berang menteri berhentikan MPP ketika krisis


AHLI
Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, mempersoalkan tindakan seorang anggota kabinet Muhyiddin Yasin yang menamatkan tugas semua ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di Kuala Lumpur dan Labuan.

Menurut fahmi, tindakan oleh Annuar Musa itu bukan sahaja mengelirukan, namun ia dilakukan dalam situasi tidak kena ketika rakyat sedang berdepan bencana koronavirus (Covid-19).

Fahmi turut mempersoalkan apakah tindakan itu juga memberi isyarat bahawa anugerah diterima MPP dikawasannya sebelum ini sebagai yang terbaik di Kuala Lumpur tidak diiktiraf pemimpin Umno itu.

"Anugerah ini diberi atas pengiktirafan mutu kerja, laporan lengkap dan aktiviti-aktiviti di lapangan yang dibuat MPP Lembah Pantai.

"Pengiktirafan ini dibuat oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan sendiri.

"Adakah pengiktirafan ini tidak bermakna?" katanya dalam satu kenyataan hari ini sebagai mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa, berkenaan penamatan tugas semua ahli MPP di Kuala Lumpur dan Labuan.

Annuar Musa dilapor berkata, penamatan khidmat MPP itu dibuat atas pertimbangan kepentingan awam kononnya sebahagian besar MPP Wilayah Persekutuan yang tidak aktif dan tidak pernah menghantar sebarang laporan kegiatan dan perbelanjaan dibelanjakan.

Menurut Fahmi jika pertimbangan Annuar itu diambil kira, mengapa khidmat anggota MPP Lembah Pantai juga ditamatkan.

Pada Febuari lalu, MPP Lembah Pantai  menerima anugerah emas dengan lima bintang pada majlis anjuran kementerian Wilayah Persekutuan.

"Bagaimana pula dengan MPP lain yang turut diiktiraf pada malam itu?

"Bukannya semua ditamatkan serentak sebegini rupa. Dan bukan pada waktu ini, ketika perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa kerana Covid-19 melanda," katanya.

Post a comment

0 Comments