Doktor, bayi dikebumikan dalam satu liang


JENAZAH seorang doktor bersama bayinya yang terkorban dalam kemalangan semalam selamat dikebumikan dalam satu liang.

Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, dan bayinya, Mohammad Fitri Yusof Muhammad Hafiz Zulhilmi berusia sembilan bulan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, jam 9.55 malam tadi.

Kedua-dua mereka maut apabila van Jabatan Kesihatan yang dinaiki terbabas di Kilometer 11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Renok Baru, Gua Musang, pagi tadi.

memetik laporan BH,  jenazah dua beranak itu dibawa menggunakan van jenazah dengan diiringi kenderaan polis pada jam 8.35 malam ke kediaman mangsa di Jalan Sekolah Cina, Rantau Panjang.

Jenazah kemudian dibawa ke tanah perkuburan kira-kira jam 9.20 malam dengan majlis pengebumian dihadiri 20 ahli keluarga terdekat saja berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain mengorbankan Dr Nooranisah yang bertugas di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, dan bayinya, kemalangan kira-kira jam 9.50 pagi itu turut menyebabkan tujuh individu lain cedera.


Semua kakitangan di Hospital Sultan Ismail Petra itu dilaporkan dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang bagi menjalankan tugas berkaitan rawatan koronavirus (COVID-19)

Difahamkan, Dr Nooranisah membawa bayinya bersama kerana perlu berada di Gua Musang untuk tempoh yang lama.

Post a comment

0 Comments