Dua penempatan di Johor kena kuarantin


DUA
kawasan petempatan di Kluang, Johor dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Perintah itu dikuatkuas di Kampung Dato' Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato' Ibrahim Majid di Simpang Renggam susulan terdapat kes positif koronavirus (Covid-19) yang tinggi di dua kawasan tersebut.

Difahamkan, di Kluang sahaja 83 kes positif wabak itu dikesan, 61 daripadanya berlaku di du kawasan berkenaan.

"Mengambil kira jumlah kes yang tinggi di dua kawasan tersebut, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPD.

"Ia melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga. Perintah ini akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 27 Mac hingga 9 April," kata seorang menteri dibawah pentadbiran Muhyiddin dalam satu kenyataan.

Dengan pelaksanaan PKPD beberapa peraturan ketat dikenakan, iaitu:

-Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

-Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.

-Semua aktiviti perniagaan dihentikan.

-Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

-Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.

-Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.

-Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.

Semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama kepada petugas dari KKM serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434.

Sementara Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, berharap orang ramai mendoakan penduduk kampung terbabit serta petugas yang menguruskannya.

"Di pihak pejabat parlimen, kami akan sentiasa memaklumkan dan mengemas kini maklumat serta bantuan yang boleh disalurkan.

"Hubungi talian Pejabat Parlimen Simpang Renggam ini untuk sebarang aduan atau info, iaitu 010-235 0151," katanya.

Post a comment

0 Comments