Gangsa milik Azizulhasni di kejohanan dunia 2020


JAGUH
berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang memenangi pingat gangsa dalam final acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Berlin.

Pada aksi di The Velodrom pada Jumaat, Azizilhasni berada di kedudukan terbaik untuk meraih pingat emas atau perak namun kemaraannya disekat dengan pergeseran dengan pelumba Britain, Jack Carlin.

Pelumba kelahiran Dungun itu yang terkenal dengan jolokan The Pocket Rocketman  itu melalui muat naik di Instagram @azizulhasniawang berkata beliau diberikan tiga kali undian paling hadapan semasa perlumbaan bermula, namun secara taktikal ia tidak menyebelahi kayuhannya.

“Pada final, perancangan awal saya dan pasukan adalah untuk mendapatkan posisi terbaik sebelum pecutan bermula tetapi semua pelumba menunggu di belakang. Apabila perlumbaan memasuki pusingan kedua terakhir, saya cuba memecut apabila melihat ada pergerakan daripada belakang.

“Namun saya terkepung dan selepas itu berhimpit pula dengan pelumba dari Britian (Jack Carlin) yang merencatkan kayuhan saya ketika itu. Saya melihat ada dua pelumba telah berada di hadapan dan saya cuba mengejar, menunggu waktu yang sesuai untuk memintas.

“Malangnya, saya sekali lagi dihimpit pada selekoh terakhir apabila cuba memotong dan saya terpaksa akur dengan pingat gangsa. Saya bersyukur dengan pencapaian gangsa,” katanya.

Pingat emas menjadi milik pelumba Belanda, Harrie Levreysen yang menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan masa 9.861 saat, diikuti pelumba Jepun, Yuta Wakimoto.

Sebagai rekod, kemenangan tersebut merupakan pingat keenam Azizulhasni pada Kejohanan Trek Dunia di mana beliau mencipta sejarah meraih pingat emas di Hong Kong pada edisi 2017 dalam acara keirin.

Beliau meraih pingat perak di kejohanan itu di Poland pada 2009 dalam acara pecut, dan mengulanginya pada tahun seterusnya di Copenhagen, Denmark dalam acara keirin.

Azizulhasni juga meraih pingat gangsa di Paris pada 2015 dan edisi 2016 di London dalam acara keirin.

Post a comment

0 Comments