Jakim tubuh pasukan khas urus jenazah mangsa Covid-19


PASUKAN khas bagi menguruskan jenazah mangsa wabak koronavirus (Covid-19) bakal ditubuhkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Pengarah Dasar, Jakim, Hakimah Mohd Yusoff yang berkatan penubuhan pasukan itu dibuat bagi persiapan susulan peningkatan jumlah kematian akibat jangkitan itu di negara ini.

Menurutnya, seramai 18 orang petugas khas pengurusan jenazah diarah bersiap sedia terdiri daripada pegawai dari Jakim, masjid utama di bawa jabatan itu dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

“Pasukan yang ditubuhkan sejak wabak ini melanda negara telah diberi taklimat dan penerangan mengenai kaedah pengurusan jenazah secara khas berpandukan pandangan hukum yang diputuskan oleh Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020.

“Muzakarah itu bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa Covid-19 mengguna pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai hukum pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus Ebola (Ebola Virus Diseases: EVD) di Malaysia.

“Pandangan ini telah mendapat perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan.
 

Post a comment

0 Comments