Jumlah kematian akibat koronavirus kini 19 kes


PENGARAH Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengumumkan empat kes kematian membabitkan wabak koronavirus (Covid-19).

Semua kes baharu itu jelasnya menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat wabak itu kepada 19 kes.

Katanya, kematian pertama iaitu yang ke-16 secara keseluruhan melibatkan pesakit ke-1,334, lelaki warganegara Malaysia berumur 75 tahun.

Manakala kes kematian ke-17 merupakan kes ke-1,251, lelaki warganegara Malaysia berumur 66 tahun yang disyaki mempunyai sejarah kontak dengan kes positif COVID-19.

Kedua-dua kes tersebut melibatkan pesakit yang mempunyai latar belakang sakit kronik.

"Kes kematian ke-18 merupakan kes ke-1,625, lelaki warganegara Malaysia berumur 56 tahun dan dia mempunyai latar belakang penyakit kronik manakala kes kematian ke-19 merupakan kes ke-1,246, perempuan warganegara Malaysia berumur 68 tahun," katanya dalam sidang media di Putrajaya.

Tambah Noor Hisyam, setakat pukul 12 tengah hari, terdapat 172 kes baharu positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 1,796 kes.

Katanya, daripada 172 kes baharu berkenaan, sebanyak 71 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling manakala baki 101 kes masih lagi dalam siasatan. 


Pentadbiran Muhyiddin siang tadi mengumumkan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April ini.

Post a comment

0 Comments