Malaysia cecah 900 kes, jumlah pesakit di ICU meningkat


SEHINGGA hari ini, Malaysia telah mencatatkan jumlah keseluruhan 900 kes koronavirus (Covid-19).

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan 110 kes baru, sekaligus menyaksikan negara mencatat lebih 100 kes buat lima hari berturut-turut.

Menterinya, Dr Adham Baba berkata, daripada 110 kes baru itu, 63 daripadanya mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan Tabligh di Masjid Seri Petaling, yang berlangsung pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Jumlah pesakit yang dimasukkan ke wad rawatan intensif (ICU) juga menunjukkan peningkatan hari ini kepada 20 orang berbanding 15 sebelum ini.

Manakala 15 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan semuanya 75 kes pulih setakat ini.

Selasa lalu, Malaysia mencatatkan 2 kematian pertama kerana Covid-19 membabitkan seorang pastor berusia 60 tahun dari Sarawak dan seorang lelaki berusia 34 tahun yang menyertai perhimpunan tabligh di Sri Petaling pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.
 

Post a comment

0 Comments