MEF bidas kelemahan pentadbiran Muhyiddin.


PERSEKUTUAN
Majikan-majikan Malaysia (MEF) membidas pentadbiran Muhyiddin Yassin dalam isu bayaran gaji pekerja susulan arahan bawah perintah kawalan pergerakan.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, penetapan bayaran penuh bagi pekerja dalam perkhidmatan bukan asas dilihat tidak adil pada majikan terutama ketika iklim ekonomi semasa, tambahan majikan turut perlu  menyumbang kepada KWSP dan Perkeso, serta menanggung pinjaman bank.

“Ia dasar yang tidak realistik dan boleh menyaksikan lebih banyak orang diberhentikan kerja pada kadar lebih cepat,” katanya dipetik laporan FMT.

Pentadbiran Muhyiddin mengeluarkan arahan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac lalu bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Sepanjang tempoh berkenaan menurut Shamsuddin, majikan perlu bayar pekerja secara penuh termasuk kepada pekerja yang dibayar secara harian.

"Adakah kementerian pertimbangkan dari mana majikan boleh dapatkan hasil sepanjang kawalan itu?" soalnya. 


Pentadbiran kelam kabut

Sementara itu Shamsuddin berkata, pentadbiran Muhyiddin dilihat tidak dapat menangani isu perniagaan dan pekerja dengan baik apabila berlaku pertindihan dasar dalam keputusan dibuatnya.

Ketiadaan penyelarasan seperti yang berlaku tambahnya lagi akan hanya memberi mesej yang salah, mengelirukan majikan, pekerja, kesatuan sekerja, dan penjawat awam.

“Tangan kanan tak tahu apa yang dibuat tangan kiri.

“Nampaknya pekerja, kesatuan, dan kerajaan tak berminat untuk mengekalkan pekerjaan dalam masa mencabar ini. Mungkin mereka lebih suka syarikat jatuh dan semua orang hilang kerja.” katanya sambil merujuk pertindihan arahan yang mengkehendaki majikan membayar gaji penuh kepada pekerja.

Arahan terbaharu itu jelasnya bertentangan dengan Program Pengekalan Pekerjaan yang diumumkan Muhyiddin semasa beliau memperkenalkan perintah kawalan pekerjaan bagi mengekang penularan Covid-19 sebelum ini dimana bantuan kewangan bulanan sebanyak RM600 diberikan antara 1 dan 6 bulan bagi mereka yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah yang diminta diminta bercuti tanpa gaji mulai 1 Mac.


Contohi negara lain


Dalam laporan serupa. Shamsuddin berkata kerajaan harus membantu rakyat dan majikan dengan menggunakan rizab negara bagi merangsang ekonomi dan mengikut contoh United Kingdom di mana kerajaan membayar 80% daripada gaji pekerja.

“Kami ada mencadangkan beberapa cara untuk menguruskan aliran tunai majikan kepada Kementerian Kewangan.

“Diharapkan mereka akan kaji banyak dasar sedia ada bagi mencipta persekitaran yang lebih mesra perniagaan bagi memastikan kelangsungan komuniti perniagaan dan mengekalkan pekerjaan,” tambahnya lagi.

Post a comment

0 Comments