MTUC kritik langkah dibuat Muhyiddin


KONGRES
Kesatuan Sekerja (MTUC) membidas langkah diputuskan  Muhyiddin Yassin untuk golongan pekerja dalam menangani krisis koronavirus (Covid-19).

Setiausaha Agung MTUC J Solomon berkata, pengumuman Muhyiddin yang membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan  simpanan mereka mengejutkan kerana ia akan mengurangkan simpanan jangka panjang golongan itu.

"Ketika kita meminta kerajaan menyuntik dana untuk membantu berjuta-juta pekerja di negara ini yang terjejas secara langsung oleh kesan Covid-19, ia (Muhyiddin) sebaliknya memaksa pekerja mengeluarkan wang daripada dana simpanan yang bertujuan untuk simpanan usia tua," katanya

Pentadbiran Muhyiddin siang tadi mengumumkan pencarum boleh mengeluarkan RM500 sebulan dari Akaun 2 untuk 12 bulan akan datang bagi menghadapi krisis kesihatan yang sedang melanda.

Mengulas lanjut, Solomon menegaskan, tindakan pentadbiran Muhyiddin itu tidak betul dari segi moral dan dari segi pentadbiran. Pentadbiran Muhyiddin tambahnya cuba dilihat baik dengan langkah itu

"Ia adalah seperti 'merompak' daripada simpanan seseorang, yang timbul daripada kegagalan kerajaan untuk melindungi rakyatnya," tegas Solomon.

Kebiasaanya, dana dari akaun 2 digunakan untuk pembayaran pinjaman perumahan, pendidikan dan keperluan perubatan pencarum.

Sementara itu tambahnya, keadaan semasa negara memerlukan kebijaksanaan dari perancang ekonomi untuk meringankan beban semua pekerja di negara ini, dan bukannya memburukkan lagi keadaan.

"Jangan sentuh KWSP pekerja, potong gaji atau memberhentikan mereka kerana akibat-akibat sosial akan serius," katanya dan menggesa kerajaan membatalkan langkah berkenaan.

Post a comment

0 Comments