Pakej Kak Kiah: M'sia amal sistem Westminster - Pakar


SEORANG bekas Exco Perak, Dr Abdul Aziz Bari menggesa supaya Sidang Khas Parlimen diadakan segera.

Dr Abdul Aziz Bari, seorang Pakar Perlembagaan menegaskan bahawa ia bagi membincangkan isu pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat diumumkan pentadbiran Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Katanya, sistem diamalkan di negara ini berbeza dari sistem pemerintahan berpresiden seperti diamalkan di Amerika Syarikat di mana Presiden negara itu ada kuasa meluluskan pakej kewangan sendirian.

"Di AS selepas menang pilihan raya, seseorang Presiden tidak perlu bekerja dengan Kongres iaitu dewan perundangan dalam sistem itu. Sebab itu walaupun pakej rangsangan dilaporkan sangat besar melebih AS$ 2 trilion, ia hanya memerlukan perintah Presiden sahaja.

"Tetapi negara Westminster berbeza. Hayat dan kelangsungan cabang eksekutif perlu sahkan oleh Parlimen," katanya dipetik satu laporan media.

Sebagai rekod, Malaysia yang mengamalkan sistem negara berasaskan demokrasi berperlembagaan bermodelkan sistem British.

Sejak seminggu lalu, beberapa individu dan gabungan mendesak agar sidang tersebut diadakan segera.


Sekumpulan 50 ahli akademik, budayawan dan aktivis menegaskan bahawa pentadbiran Muhyiddin perlu mendapatkan mandat yang sewajarnya bagi memastikan pakej itu dapat diluluskan segera.

"Pentadbiran Muhyiddin mesti mendapatkan mandat yang betul daripada semua ahli parlimen dalam cara yang tidak berpihak kepada parti politik supaya pakej rangsangan itu diluluskan," kata kumpulan itu. 

Sebagai rekod, kumpulan itu turut dianggotai antaranya anak kepada  bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua, Mohamed Tawfik Bin Tun Dr. Ismail, sarjana Terence Gomez dan bekas duta Dennis Ignatius itu.

Gesaan mengenainya turut dibuat beberapa pemimpin politik lain, antaranya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu perbahasan mengenai pakej itu diadakan segera bagi memastikan pelaksanaanya kelak tidak kucar kacir dan bantuan sewajarnya benar-benar sampai ke golongan memerlukan.

Post a comment

0 Comments