Penuntut UiTM sah positif koronavirus


SEORANG
penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) disahkan positif koronavirus (Covid-19) pada Sabtu.

Naib Canselor UiTM, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim dipetik satu laporan media berkata, ia kini menjadikan jumlah penuntut di universiti itu yang dijangkiti setakat ini tiga orang.

Mengulas lanjut, Mohd Azraai berkata, penuntut itu dijangkiti melalui bapanya yang turut dijangkiti daripada kontak iaitu saudaranya yang menyertai perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur.

Penuntut menghadiri kuliah pada 15 Mac lalu dan apabila disahkan positif Covid-19, dia memaklumkan dirinya dijangkiti kepada pensyarah.

“Sehubungan itu, pihak UiTM melalui Pusat Gerakan Covid-19 dan Pusat Kesihatan UiTM memaklumkan keadaan penuntut berkenaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, penuntut tersebut kini sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur.

Sementara itu tambah Mohd Azraai,  kontak rapat penuntut itu sudah dikenal pasti oleh pihak UiTM dan mereka menjalani saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah Kepong.

Pihak UiTM juga telah melakukan kerja pembersihan dan pembasmian kuman di kelas serta kawasan berkaitan sebagai langkah keselamatan bagi mengelak virus berkenaan tersebar.

“Semua penuntut dan staf tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana UiTM mengambil langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang sepatutnya.

“Mereka juga disarankan untuk mengikuti arahan dan nasihat pihak pengurusan UiTM dan KKM dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Post a comment

0 Comments