Permohonan semakan Azilah didengar 20 April


TIADA perubahan tarikh untuk proses pendengaran permohonan semakan sabitan dan hukuman mati ke atas bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Azilah Hadri yang dijadualkan pada 20 April ini.

Portal Bernama dalam laporannya berkata, satu dokumen mahkamah yang dilihat mereka mengarahkan  Jabatan Peguam Negara mengemukakan afidavit jawapan bagi permohonan bekas Perdana Menteri, Najib Razak untuk mencelah permohonan Azilah sebelum 10 April.

Kedua-dua pihak dalam kes itu juga dikehendaki menyerahkan hujahan bertulis masing-masing sebelum 6 April. 

Azilah, 43, yang sedang menunggu hukuman mati di Penjara Kajang memfailkan permohonan semakan pada 5 Dis tahun lepas yang turut disertakan dengan afidavit yang mengandungi Akuan Berkanun (SD) setebal 32 muka surat untuk menyokong permohonannya.

Dia dan seorang lagi bekas anggota UTK, Sirul Azhar Umar, 47, disabitkan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 kerana didapati bersalah membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Dalam SD itu beliau mendakwa arahan untuk membunuh Altantuya dikeluarkan bekas Perdana Menteri (Najib), yang ketika kejadian merupakan Timbalan Perdana Menteri.

Azilah, memohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Jan 2015 dan memohon perintah untuk perbicaraan semula. 

Post a comment

0 Comments