Peronda polis rempuh pokok ketika ops Covid-19


JASA
petugas barisan hadapan ketika negara berdepan ancaman wabak koronavirus (Covid-19) bukan kepalang, ketika rakyat diarah berehat dirumah, mereka menggadai nyawa memastikan usaha menangani wabak tersebut berjaya.
Sebelum ini rakyat dikejutkan dengan berita kemalangan maut melibatkan doktor yang ditugaskan merawat pesakit tersebut di Kelantan.


Dr Nooranisah Mohd Razali, 31, bersama anaknya yang berusia 9 bulan yang berada dalam sebuah van kesihatan terbunuh setelah kenderaan dinaiki mereka terbabas di Gua Musang.
Terbaharu, tiga  individu termasuk seorang anggota tentera cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta peronda polis (MPV) yang membawa petugas Ops Covid-19.

Memetik laporan Bernama, kemalangan itu dilapor berlaku di Taman Lavender Heights, Senawang semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, kereta peronda polis jenis Proton Inspira yang dinaiki dua anggota polis dan dua anggota tentera itu sedang membuat rondaan di sekitar Senawang.

Kemalangan itu jelasnya berpunca dari masalah brek kenderaan yang tidak berfungsi.

“Apabila tiba di tempat kejadian yang berselekoh menuruni bukit, brek kereta pasukan yang dipandu seorang anggota polis berusia 41 tahun itu tidak berfungsi menyebabkan kenderaan itu terbabas ke hadapan lalu melanggar sebatang pokok di kanan bahu jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan pemandu kereta cedera ringan di badan dan kaki, penumpang hadapan iaitu seorang anggota polis lelaki berusia 38 tahun mengalami luka-luka kecil di tangan dan bibir manakala seorang anggota tentera berusia 31 tahun yang duduk di belakang retak tulang belakang,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Said berkata, seorang lagi anggota tentera berusia 24 tahun tidak cedera.

Susulan kejadian itu jelasnya, semua mereka dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban bagi mendapatkan rawatan.

Post a comment

0 Comments