Polis nafi berita tular dakwa pesakit lari hospital


POLIS Johor menafikan mesej yang tular di media sosial semalam kononnya 2 pesakit yang dijangkiti koronavirus (Covid-19) melarikan diri dari kuarantin di Hospital.

Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kedua-dua individu tersebut awalnya menjalani saringan kesihatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) kira-kira 3 pagi tadi dan kedua mereka negatif jangkitan itu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua pesakit tersebut baru kembali ke Malaysia selepas bercuti di Korea. Disebabkan penularan Covid-19, mereka hadir (secara sukarela) ke hospital berkenaan untuk melakukan ujian saringan.

“Semasa menunggu rawatan, kedua-dua pesakit bagaimanapun telah pulang ke rumah atas sebab-sebab peribadi.

“Hasil ujian saringan berkenaan, pihak hospital mendapati kedua-dua pesakit tersebut negatif penyakit terbabit," jelasnya.

Malah tambah Ayob Khan, susulan mesej tular itu, kedua-dua individu itu telah tampil di balai polis berdekatan untuk membuat laporan bagi menafikan mereka melarikan diri dari hospital.

Semalam tular salinan laporan polis yang didakwa difailkan seorang petugas hospital di Facebook mendakwa 2 pesakit yang disyaki dijangkiti Covid-19 pulang (meninggalkan hospital) tanpa kebenaran doktor.



Post a comment

0 Comments