Prof. Emeritus Dr Mohd Rashdan Baba meninggal dunia


TOKOH
akademik negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba meninggal dunia jam 6.59 pagi tadi, pada usia 85 tahun.

Berita kematian Dr Mohd Rashdan dikongsikan anak saudaranya, yang juga ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menerusi laman Facebook miliknya.

“Saya baru menerima berita sedih subuh tadi, pulangnya ke rahmatullah bapa saudara saya Allahyarham Tan Sri Rashdan Baba.

Sementara itu, pembantu peribadi Allahyarham yang dipetik laporan Bernama berkata, Allahyarham meninggal di Hospital Ampang Puteri akibat komplikasi beberapa penyakit.

Individu itu yang enggan dikenali berkata,  jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara, Damansara.

Sebagai rekod, Allahyarham dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1 Sept, 1969 hingga 31 Mac, 1971 sebelum menjawat jawatan sama di Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) dari tahun 1971 hingga 1982.

Allahyarham dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus daripada UPM pada 14 Ogos 1982 dan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang UKM pada 3 Julai, 1999 di samping menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Sains dari University of Reading dan Kedoktoran Undang-undang dari University of Leeds.

Sementara itu, warga Kesatuan Kakitangan Am UPM (Kepertama UPM) menerusi laman Facebook, turut menzahirkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Datin Dr Rayslida manakala isterinya, Puan Sri Robiyah Abdul Majid telah pun meninggal dunia beberapa tahun yang lepas.

Beliau sebelum ini mendapat jolokan 'Bapa Pembangunan Kolej Pertanian Malaya' dan dianggap seorang pelopor dan pejuang dalam bidang pembangunan pertanian.

Post a comment

0 Comments