Tiada kes kencing tikus di 3 kawasan perkelahan Perak


TIADA
kes leptospirosis atau kencing tikus berlaku di pusat rekreasi Lata Kinjang, Lata Iskandar dan Kuala Woh.

Pengesahan itu dibuat Jabatan Kesihatan Perak susulan mesej tular yang mendakwa berlaku beberapa kes dikaitkan dengan wabak itu seperti ditularkan baru-baru ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, bagaimanapun sehingga 22 Februari 2020, sebanyak dua kes disahkan leptopirosis dilaporkan di daerah Batang Padang.

Beliau berkata, Kedua-dua kes-kes berlaku berhampiran dengan Kuala Woh, tetapi kes tersebut dianggap sebagai kes terpencil.

"Siasatan lanjut mendapati tiada kes leptospirosis dilaporkan berlaku di ketiga-tiga lokasi yang dinyatakan dalam memo tular sepanjang tahun 2019 dan 2020.

"Jabatan Kesihatan Perak akan sentiasa memantau keadaan kesihatan persekitaran serta bekerjasama dengan jabatan dan agensi berkaitan mengawal dan mencegah jangkitan Leptospirosis," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Jabatan Perhutanan Perak turut menafikan memo yang tular sejak semalam mengenai kes leptospirosis di tiga lokasi tersebut menerusi satu kenyataan sebelum ini.

Sebagai rekod, Leptospirosis ialah penyakit berjangkit disebabkan bakteria Leptospira yang disebarkan melalui haiwan. Jika tidak dirawat segera, penyakit ini boleh merebak dan membawa maut.

Sikap suka membuang sampah sarap sewenangnya terutama di kawasan perkelahan dianggap antara faktor kewujudan wabak ini.

Post a comment

0 Comments