Tun M dakwa dapat sokongan lebih berbanding Muhyiddin


PENGERUSI Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau telah mendapat sokongan daripada 114 Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan. 

Perkembangn itu menyusul malam tadi setelah Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin dilapor telah diperkenan untuk mengangkat sumpah jawatan itu pagi ini.

Menurut Dr Mahathir, beliau telah menyediakan surat untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menerangkan kedudukan perkara itu.

Tambahnya, kesemua Ahli Parlimen tersebut menyatakan sokongan  dalam bentuk Akuan Berkanun dan juga surat-surat rasmi daripada ketua-ketua parti yang akan beliau persembahkan kepada Seri Paduka.

“Saya berharap pihak Tuanku Yang di-Pertuan Agong akan menerima surat penjelasan saya,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kesemua 114 Ahli Parlimen itu adalah daripada Bersatu, KEADILAN, Parti Amanah Negara (Amanah),  Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), DAP, Gabungan Bersatu Sabah (GBS) dan Bebas.

Dalam kenyataan itu, Dr Mahathir turut menjelaskan beliau dan lima lagi Ahli Parlimen dari Bersatu tidak menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Ini menjadikan jumlah sokongan (Bersatu) seperti yang dipersembahkan oleh Tan Sri Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah tidak tepat,” katanya.

Lima Ahli Parlimen Bersatu lain yang tidak menyokong pelantikan itu ialah ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Ir Amiruddin Hamzah, Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kuala Pilah Eddin Syazlee Shith.
Perkembangan itu menyaksikan parti itu berpecah dua.

Dr Mahathir semalam kembali kepada Pakatan Harapan (HARAPAN), ia sebagai langkah untuk memastikan kerajaan HARAPAN yang terbina sebelum ini dapat berfungsi semula.

Blok Muhyiddin pula disertai Ahli Parlimen pro bekas timbalan presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali, Umno dan PAS serta beberapa ahli parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Post a comment

0 Comments