Wanita maut Myvi bertembung Estima


SEORANG
wanita dilapor terbunuh dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan  di Kilometer 12 Jalan Endau-Mersing di Mersing petang semalam.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Myvi.

Pemandu kereta Perodua Myvi, Nurul Qurratu’ Aini Abd Razak, 31, maut di lokasi kejadian.

"MPV yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun bersama dua anaknya berusia sembilan dan 15 tahun dalam perjalanan dari Kelantan menuju ke Johor Bahru.

“MPV itu kemudiannya bertembung dengan Perodua Myvi yang dinaiki dua penumpang bersama pemandu kereta berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta Perodua Myvi yang juga wanita tempatan berusia 31 tahun berasal dari Pulau Tioman, Pahang, parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Susulan itu, semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Mersing untuk rawatan selanjutnya, Manakala mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital sama bagi proses bedah siasat.

Tambah Cyril, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
 

Post a comment

0 Comments