Ahli parlimen dakwa dihalau timbalan menteri


AHLI
Parlimen Batu P Prabakaran dilapor diiring keluar dari kawasan Sri Murni di Kuala Lumpur, yang telah dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Sebelumnya, Prabakaran, yang dipilih secara sah oleh pengundi kawasan itu mendakwa dihalau dari pusat kawalan (Command centre).

Ia selepas berlaku "pertelingkahan" dengan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Edmund Santhara Kumar Ramanaidu.

Melalui satu rakaman dimuat naik di laman sosialnya, Prabakaran yang bertanding atas tiket KEADILAN pada Pilihan Raya lalu mendakwa hadir untuk menjalankan tugas sebagai anggota parlimen yang mewakili penduduk.

Jelasnya, kehadiran ke pusat kawalan itu susulan mahu menyampaikan aduan penduduk yang memerlukan bekalan barangan asas terutama ketika kawasan itu dikenakan PKPD.

"Apabila saya masuk ke dalam, saya ke pusat kawalan (command centre) dan Edmund berada di sana.

"Saya minta beliau menimbang untuk meletakkan Jabatan Kebajikan dalam keadaan bersedia untuk membantu penduduk, yang merungut tiada makanan yang cukup.

"Tapi beliau minta saya pergi dari situ," dakwanya, sambil menambah ia membawa kepada pertikaman lidah antara mereka.

Memetik laporan Malaysiakini, Prabakaran dilapor
dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Sentul.

Pada masa ini tidak jelas sama ada Prabakaran telah ditahan.

Post a comment

0 Comments