Amanah persoal status siasatan VIP langgar PKP


PARTI
Amanah Negara (Amanah)  Perak mempersoalkan status siasatan polis ke atas dua orang kenamaan di negeri itu yang sebelum ini didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Setiausahanya, Salman Salleh melalui satu kenyataan berkata setakat ini belum ada sebarang perkembangan mengenai isu itu dimaklumkan pihak berkuasa.

"Sudah lebih seminggu kejadian tersebut berlaku tetapi masih belum dimaklumkan hasil siasatannya dan ini cukup malang buat rakyat biasa," katanya.

Amanah Perak bimbang insiden tersebut diberikan keistimewaan sehingga boleh memberi mesej yang salah dan menunjukkan sikap tidak wajar pihak tertentu ke atas orang kenamaan dan orang awam.

Pada 18 April lalu Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, serta Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali, menjadi sasaran kritikan warganet selepas dilihat makan beramai-ramai di sebuah sekolah tahfiz di Lenggong.

Pusat pendidikan itu didakwa dimiliki Razman yang juga salah seorang exco Perak.

Razman dan Noor Azmi kemudian - secara berasingan - membuat permohonan maaf atas kejadian tersebut, namun pengguna media sosial berasa ia tidak memadai memandangkan orang awam yang melanggar PKP dikenakan tindakan berat termasuk penjara.

Salman turut mengingatkan kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bar-baru ini yang memberi peringatan agar pemimpin negeri agar menunjukkan teladan yang baik kepada rakyat.

"Pihak berkuasa perlu bersikap adil kepada semua rakyat kerana negara kita mempunyai undang-undang yang melindungi semua tanpa mengira apa kedudukan mereka," katanya Salman melalui kenyataan tersebut.

Post a comment

0 Comments