Angka kematian Covid-19 meningkat 175,000 kes


ANGKA
kematian akibat wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh dunia kini meningkat kepada 175,000 kes setakat jam 5 pagi tadi.

Menurut statistik Johns Hopkins University, sebanyak empat negara mempunyai kes maut melebihi 20,000 dengan pertambahan lebih 6,000 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Amerika Syarikat (AS) terus kekal sebagai negara yang mempunyai angka korban tertinggi dan menjadi satu-satunya negara yang mencecah 40,000 kes kematian.

Setakat kini, AS mencatatkan 43,796 kes keseluruhan dengan pertambahan 2,221 kematian dalam tempoh 24 jam.

Itali ketika ini mencatatkan 24,600 kes kematian, dengan pertambahan 534 kematian dalam tempoh serupa.

Sepanyol pula menjadi negara ketiga paling teruk apabila merekodkan pertambahan 430 korban, sekali gus jumlah keseluruhan 21,000 kes.

Dalam pada itu, Perancis yang melepasi angka korban 20,000 kes semalam merekodkan pertambahan 531 kes kematian dan secara keseluruhan 20,700, United Kingdom (UK) pula mencatatkan pertambahan 868 korban baharu dan secara keseluruhan 17,300.

Bagaimanapun, kebanyakan negara-negara Eropah yang terjejas teruk sejak sebulan lalu mula menunjukkan angka kematian yang semakin menurun.

Sementara itu menurut Johns Hopkins, setakat ini lebih 2.5 juta kes positif telah dikesan. dengan AS sahaja mencatatkan 816,240 kes.

Post a comment

0 Comments