Bakul makanan: Pertembungan pemimpin PN dan PH


BEBERAPA Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) gesa sidang khas parlimen membincangkan isu bantuan kepada rakyat miskin diadakan.

Ia susulan pelbagai masalah yang timbul sepanjang proses pengagihan 'bakul makanan' dikendali kementerian dikelola Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Rina Harun.

Antara isu dibangkitkan adalah kelewatan penyerahan bantuan serta nilai serahan barangan keperluan itu didakwa tidak sepadan dengan nilai dijanjikan.

“Saya menerima 250 bungkus makanan dan masing-masing bernilai sekitar RM85. Saya tidak diberitahu apa yang berlaku dengan baki nilai itu, " kata Fahmi Fadzil yang mewakili kawasan Lembah Pantai.

Tambahnya, beliau kemudian diberitahu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bahawa caj pembungkusan dan pengangkutan menjadikannya RM85 dan bukan RM100.

Fahmi menegaskan meskipun ada penjelasan namun ia merupakan tindakan tidak wajar kerana membabitkan jumlah potongan terlalu besar.

"Jika RM15 diambil daripada setiap bungkusan, maka ia menelan belanja sebanyak RM3.3 juta," tegasnya.

Justeru masalah-masalah seperti itu katanya telah sidang parlimen khas diadakan agar ahli parlimen dapat menuntut jawapan daripada menteri bertanggungjawab.


Sebelum ini Adun Rasah, Cha Kee Chin mendakwa bahawa 150 bakul makanan untuk rakyat miskin yang diterima pasukannya dri kementerian hanya berharga RM35 setiap satu dan bukan RM100.

Susulan itu, seorang menteri tampil mendakwa bungkusan bernilai RM35 itu hanyalah sumbangan NGO untuk penduduk.

BACA: Bakul Makanan- Ahli Parlimen bidas jawapan menteri 

"Kerajaan cuba melepaskan diri daripada ketidakpatuhan terhadap garis panduan dengan menuding jari kepada NGO," kata Cha mengulas kenyataan menteri itu. 



Dakwa berlaku dikriminasi 
 

Beliau paling awal mempersoalkan dimana bakul makanan untuk satu juta isi rumah  yang diumumkan pentadbiran Muhyiddin

Beberapa Ahli Parlimen lain kemudian membuat kenyataan menyokong kenyataan dibuat Timbalan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga  itu

BACA:
Dikriminasi bakul makanan, disimpan tidak diagih

Sementara, Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai pula mendedahkan, hanya kerana beliau bukan pemimpin dalam kerajaan PN, 750 bakul makanan di Cheras masih belum diagihkan dan terbiar di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak sejak dua minggu.

Perkara sama berlaku di Ipoh Barat, wakil rakyatnya berkata kawasan itu belum terima 1,000 bakul makanan seperti dijanjikan pentadbiran Muhyiddin.

“Kita sedang dalam fasa ke-4 perintah kawalan pergerakan tetapi kami belum terima apa-apa.

"Banyak keluarga dan anak-anak yang akan tidur kelaparan semasa tempoh sukar ini," tegas bekas menteri sumber manusia, M Kula Segaran yang mahu Rina Harun memberi penjelasan.

BACA: Bakul makanan: Rina Harun digesa telus

Selain Fahmi, ahli parlimen pembangkang yang lain seperti Maria Chin Abdullah dan P Prabakaran turut berang dengan apa yang sedang berlaku.

Mereka menganggap sistem pengagihan dilakukan kementerian Rina Harun tidak telus serta mengelirukan.

“Tidak begitu telus pada masa ini. Mereka harus memberi laporan berapa bungkusan makanan RM50 dan RM100 yang diberikan.

“Jawapannya mesti daripada menteri bertugas (Rina Harun). Dia harus menjawab dan menjelaskan apa yang ada di dalam bungkusan RM50 dan apa yang ada di dalam bungkusan RM100, bukan menteri pertahanan,” kata Maria yang merupakan ahli Parlimen Petaling Jaya.

Prabakaran pula yang dipetik Malaysiakini  berkata beliau menerima 131 bungkusan makanan dari JKM, namun mendakwa barang dalam setiap bungkusan itu mungkin bernilai kurang daripada RM35.

"Tidak pasti bila saya akan menerima baki agihan dan bertanya-tanya mengapa mereka tidak dapat mengagihkan 1,000 bungkusan sekali gus,” kata ahli Parlimen Batu itu.

Post a comment

0 Comments