China hantar pakar bantu M'sia perangi Covid-19


SEPASUKAN
pakar perunding daripada China bakal dihantar ke Malaysia bagi membantu menangani koronavirus (Covid-19).

Kedutaan China di Malaysia dalam muatnaik di laman Facebooknya pada khamis memaklumkan  pasukan itu terdiri daripada lapan orang doktor dalam pelbagai bidang perubatan.

Lima daripada lapan doktor itu terdiri daripada pakar perubatan di Hospital Awam Wilayah Guangdong iaitu Ketua Pakar Perubatan Bersekutu, Dr Wen Miaoyun; Professor Kejururawatan dan Pengarah Jabatan Kawalan Jangkitan Nosocomial, Dr Zhang Youping; Ketua Pakar Perubatan Bersekutu Jabatan Pernafasan dan Perubatan Kritikal, Dr Yang Shifang; Ketua Pakar Perubatan Bersekutu Jabatan Penyakit Berjangkit, Dr Luo Xiaodan dan Ahli Psikologi Kanan, Dr Liu Xiangxin.

Tiga lagi doktor ialah Ketua Pakar Perubatan dan Naib Presiden Hospital Perubatan Tradisional Cina Wilayah Guangdong, Dr Li Jun; Ketua Pakar Perubatan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Wilayah Guangdong, Dr Liu Tao dan Ketua Juruteknik Bersekutu Virologi dan Timbalan Pengarah Pejabat Kajian Am, Institut Kesihatan Awam Wilayah Guangdong, Dr Sun Jiufeng.

Pada 2 April lalu, Duta China di Malaysia, Bai Tian berkata, kerajaan China telah bersetuju menghantar sepasukan pakar perubatan dari negaranya ke Malaysia bagi membantu memerangi wabak Covid-19.

Menurut Bai Tian, pasukan perubatan China yang akan datang ke Malaysia ini adalah terdiri daripada pakar terpilih dan mereka telah membuktikan keupayaan memerangi Covid-19 dengan berjaya.

China sebelum ini berkongsi kepakaran dan pengalaman menangani wabak itu kepada United Kingdom, Pakistan, Iran, Kemboja dan Itali.

Sementara itu  Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang dipetik laporan Sinar sebelum ini memaklumkan Malaysia bakal menerima bantuan perkongsian pengalaman menangani wabak itu daripada pasukan perubatan China.
 

Post a comment

0 Comments